Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengatakan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Myanmar di tengah-tengah ketidakpedulian kumpulan hak asasi manusia mempunyai petanda yang menunjukkan bahawa terdapat plot yang terancang untuk menganiaya umat Islam.
"Jenayah kejam kumpulan pelampau Buddha dan tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya ... memberikan kita petunjuk bahawa terdapat sebuah plot anti-Islam yang terancang. Jika (plot) ini tidak dihentikan, perkara itu akan mengakibatkan sebuah lagi tragedi pembunuhan beramai-ramai terpahat di dalam lipatan sejarah manusia," kata IRGC dalam satu kenyataan.
IRGC turut mengecam "sikap bermuka dua mereka yang digelar sebagai penyokong hak asasi manusia dalam menghadapi perkembangan menyedihkan yang berlaku di pelbagai sudut dunia."
"Respon global yang tidak berkesan terhadap pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya dan kesenyapan yang mematikan organisasi-organisasi hak asasi manusia antarabangsa, kekurangan konsensus dan barisan yang kuat untuk menangani pelaku jenayah seperti itu merupakan sebuah krisis kemanusiaan yang besar pada hari ini," baca kenyataan mereka.
IRGC seterusnya berkata "pengasingan lebih 100,000 orang Muslim yang tertindas dan tidak mampu mempertahankan diri mereka sendiri dan pembunuhan sekurang-kurangnya 400 orang yang lain telah mencetuskan kemarahan dunia Islam sekaligus meningkatkan liabiliti kerajaan Myanmar dalam menghadapi tragedi ini."
Organisasi itu turut berkata bahawa tindakan menyokong umat Islam Burma yang tertindas dan menarik perhatian dunia untuk memperhatikan nasib mereka merupakan sebuah "tanggungjawab yang bersejarah dan tidak dapat dielakkan oleh semua bangsa dan masyarakat."
Di dalam kenyataan yang sama, IRGC juga berkata mereka menjangkakan kerajaan Iran untuk "mengaktifkan kaedah diplomatik yang revolusioner serta mengolahkan keupayaan dan azam komuniti antarabangsa serta negara-negara Islam yang lain ... untuk menyelamatkan kaum Muslim Rohingya yang kebanyakannya berfahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah."
Terdahulu pada hari Khamis, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menegur masyarakat antarabangsa kerana berdiam diri terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas kaum Muslim Rohingya. Beliu turut menyeru semua pihak untuk bertindak pantas dalam rangka menamatkan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di negara Asia Tenggara itu.
Pasukan keselamatan Myanmar mula menyerang etnik Rohingya dan menghancurkan rumah kediaman mereka sejak tahun 2016 dalam usaha untuk menghalau keluar kaum itu dari negeri Rakhine yang terletak di barat negara tersebut.
Tindakan kekerasan ke atas etnik itu menjadi semakin parah sejak 25 Ogos lalu susulan insiden yang didakwa oleh pihak berkuasa Myanmar sebagai serangan bersenjata ke atas pos kawalan polis dan tentera di negeri Rakhine.
Etnik Rohingya berada di bawah keganasan komunal yang dilancarkan oleh pihak pelampau Buddha selama beberapa tahun ini sekaligus memaksa mereka untuk mencari suaka di Bangladesh dan beberapa negara jiran yang lain. -ABNA24
/315